
VAUTHENY (Kanan) dan Pengurus Jualan dan Operasi
Etrali, James Daniels mencuba Mach 3D di Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
ETRALI, anak syarikat milik penuh French Telecom Company, melancarkan rangkaian
terminal sistem suara yang mempertingkatkan kecekapan urus niaga saham dan
urusan antara bank dikenali Mach 3D.
Pengarah Urusan
Asia Pasifik Etrali, Henri Vautheny, berkata sistem itu dapat memenuhi
kehendak institusi kewangan tempatan yang mengkehendaki pengendalian
urus niaga lebih cekap dan menjimatkan kos.
Vautheny berkata, Mach 3D dapat mempertingkatkan komunikasi antara bank dan
pelanggan kerana ia dilengkapkan sistem pembesar suara pelbagai saluran, interkom
dan keupayaan disambungkan ke internet dan rangkaian telefon.
“Ia senang digunakan dengan adanya teknologi tekan butang atas skrin yang
memberi akses segera kepada lebih 18,000 talian telefon.
“Dengan adanya Mach 3D, bank dapat membuat panggilan, menyambung dan menapis
panggilan ketika bermesyuarat, membuat panggilan dengan pantas menggunakan butang
sentuhan dan melihat senarai panggilan yang tidak sempat dijawab,” katanya
di Kuala Lumpur minggu lalu.
Mengenai unjuran pasaran, beliau berkata, Etrali menjangkakan pertumbuhan jualan
20 peratus tahun depan.
“Etrali mensasarkan empat institusi kewangan tempatan akan menggunakan
Mach 3D menjelang akhir tahun ini dan yakin mampu mendapatkan satu bank untuk
menggunakan sistem itu bulan depan.
“Setakat ini, OCBC Bank ( Malaysia) Bhd adalah syarikat pertama di Asia
Pasifik yang menggunakan Mach 3D,” katanya yang berhasrat mendapatkan semua
bank menggunakan Mach 3D pada masa akan datang.
Antara bank yang menggunakan terminal sistem suara keluaran Etrali bagi versi
terdahulu sebelum Mach 3D dilancarkan ialah Affin Bank Bhd serta bank saudagar
dan syarikat broker saham di bawah bank itu.
Selain Affin Bank, Mayban Securities Sdn Bhd turut menggunakan versi terdahulu
yang dikenali sebagai Mach 2.
Etrali mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam penyediaan teknologi telekomunikasi
berkaitan urus niaga saham.
Nexustel Sdn Bhd adalah pengedar tunggal bagi sistem telekomunikasi di Malaysia.